petikan dari metro ahad...
TATKALA bersua muka dengan gadis ini, kelembutannya wajahnya terserlah, apatah lagi bait perkataan disusun sempurna sebelum mulutnya mula berbicara.
Siapa sangka di sebalik semua itu, gadis ini sebenarnya memikul tanggungjawab sebagai jurulatih atau cikgu seni mempertahankan diri silat lian padukan (LP).
Apabila dia mula membuka langkah dan mempersembahkan silatnya, seakan-akan hilang sifat kelembutannya, sebaliknya jelas terukir di wajahnya riak serius.
Namun bagi Nur Syazwana Shahrudin, 23, personalitinya hanya berubah di gelanggang kerana dia perlu serius dan fokus ketika melakukan latihan.
Di luar, personaliti dan wataknya kembali kepada asal kerana itu adalah sifat semula jadinya, malah mereka yang tidak mengenalinya pasti tidak menyangka dia handal dalam seni bela diri itu.
Katanya, mungkin ramai tidak tahu mengenai silat LP kerana ia belum berkembang sepenuhnya biarpun sudah lama bertapak di negara ini.
“Ia mirip silat lain yang wujud di negara ini, yang membezakannya adalah ia tidak mempunyai bunga tari atau penggunaan muzik.
“Menariknya, seni silat ini tidak mempunyai gulingan dan baringan untuk menumpaskan lawan, sebaliknya hanya menggunakan kekuatan pukulan yang lebih dikenali sebagai ‘buah pukol’,” katanya.
Menurutnya, mempelajari LP bukan bermakna dia gemarkan keganasan tetapi sebagai langkah mempertahankan diri bagi mengelak perkara tidak diingini.
Katanya, wanita sering dianggap golongan lemah dan terdedah pada bahaya, oleh itu mereka perlu mempersiapkan diri untuk berdepan sebarang kemungkinan.
“Tidak dapat dinafikan jika melihat gerakan LP, ia ganas dan keras, namun corak latihannya boleh diselaraskan mengikut keselesaan individu.
“Malah, tidak akan hilang ciri kewanitaan jika mengamalkan seni silat LP, sebaliknya akan berasa lebih yakin dan peka terhadap persekitaran,” katanya.
Gadis kelahiran Petaling Jaya ini berkata, setiap orang mempunyai ‘jarak selamat’ tertentu dan jika ada individu tidak dikenali cuba melangkaui jarak itu, akan timbul rasa kurang selesa.
Katanya, sejak mempelajari LP, dia lebih berhati-hati dan sensitif terhadap sebarang unsur yang boleh mendatangkan implikasi buruk pada dirinya, termasuk menceroboh jarak selamatnya.
Minatnya terhadap LP banyak dipengaruhi bapanya yang terlebih dulu bergiat aktif dalam seni bela diri itu. Daripada sekadar memerhati, dia mengambil keputusan mencubanya.
Bagaimanapun, ia tidak semudah disangka, malah corak latihan keras membuatkan dia pernah terfikir untuk mengangkat bendera putih.
Dorongan keluarga dan keinginan melihat lebih ramai wanita terbabit dalam LP bagai meniup semangatnya untuk terus bertahan.
Mempunyai wawasan tinggi dalam LP, dia berhasrat mengembangkan LP ke seluruh pelosok negara dan sudi mengajar mana-mana individu yang ingin mempelajari seni bela diri ini.
“Jika diberi kesempatan, saya ingin menganjurkan program berunsurkan seni bela diri khusus untuk wanita dan tidak keberatan menerima undangan untuk berkongsi ilmu yang saya ada.
“Bagi saya, ilmu dan kemahiran yang saya miliki adalah untuk dikongsi, bukan disimpan untuk kepentingan diri,” katanya.
Oleh RAJA NORAIN HIDAYAH RAJA ABDUL AZIZ
rnorain@hmetro.com.my
rnorain@hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment