Wednesday, July 1, 2015

syarat ketat silat di sekolah - berita harian

Gombak: Kementerian Pendidikan Malaysia mengenakan syarat ketat yang perlu dipatuhi mana-mana perguruan silat yang mahu mengajar di sekolah bagi memastikan tidak ada unsur khurafat atau aktiviti memesong akidah dibawa perguruan silat berkenaan.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Mohd Anuar Abdul Hamid berkata, peraturan ketat itu juga bagi mengelakkan jurulatih silat menyalahguna dan mengambil kesempatan mengambil yuran daripada murid dan pelajar tanpa melakukan tanggungjawab mereka.

Katanya, pihak sekolah juga perlu memastikan perguruan silat itu benar-benar sah dan berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang berhak membatalkan lesen sekiranya tidak berpuas hati dengan khidmat mereka.

“Apa yang menjadi keutamaan ialah kita mahu menjaga kebajikan dan keselamatan murid dan pelajar. Dalam soal ini, tidak semua jurulatih silat datang mengajar kerana ada yang dikesan mengambil kesempatan seperti mengutip yuran walaupun gagal datang mengajar mengikut jadual mereka.

“Itu sebabnya kita kenakan peraturan dan kementerian amat berhati-hati dalam perkara ini. Perlu dipastikan mana-mana perguruan silat yang mahu mengajar di sekolah perlu berdaftar dengan ROS dan perlu dibuktikan oleh perguruan mereka bahawa mereka layak mengajar sebagai jurulatih.

“Kita juga tidak mahu ada elemen khurafat dan menjejaskan akidah murid dan pelajar dan selain itu kita juga mahu pastikan mereka yang belajar silat ini boleh masuk bertanding, katanya selepas menyampaikan sijil penyertaan di Majlis Penutup Kursus Wasit Juri Tahap 3 Kebangsaan anjuran Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Gombak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sg Pusu, di sini, semalam.

Hadir sama Pengetua SMK Sg Pusu Sajoli Masdor dan Yang Dipertua PESAKA Gombak Razlan Razali.

Kursus itu membabitkan 12 gabungan silat di bawah daerah Gombak termasuk Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia, Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia, Pertubuhan Gerak Ilham Malaysia, Pertubuhan Seni Silat Gayong Fatani Malaysia serta Persatuan Seni Silat Gerak Harimau Laksmana.

Sementara itu, Mohd Anuar berkata, kementerian sentiasa mengalu-alukan pembabitan lebih banyak gabungan silat untuk membantu menggerakkan ilmu seni silat di peringkat sekolah dengan lebih giat lagi.

“Kita mahu anak muda dipupuk dengan rasa cintakan seni silat sejak peringkat awal lagi dan apabila mereka sudah sebati adalah peranan gabungan silat ini untuk menyambut mereka.

“Kita sudah menerima pembabitan gabungan silat dan mengalukan lebih banyak untuk membantu kerana bukan semua guru mempunyai kemahiran ini dan boleh menjadi jurulatih,” katanya